Aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri 2018 diteruskan - Utusan Malaysia

Aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri 2018 diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Pas  tidak akan membatalkan sebarang  aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri 2018 dalam usaha meningkatkan  perkembangan industri yang diberi penekanan sebagai salah salah satu sumber utama ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri,  Ariffin Deraman berkata, setakat ini kesemua aktiviti yang dirangka semasa kerajaaan terdahulu termasuk Pesta Pantai, Larian Jambatan Sultan Mahmud dan Kapas-Marang Swimathon akan diteruskan.

“Tidak ada aktiviti yang akan dibatalkan kecuali program Pelita Raya Terengganu pada Jun lepas yang terpaksa dilakukan ekoran perubahan dalam barisan kepemimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini.

“Lain-lain program akan berjalan seperti biasa. Sekarang kita sedang mengadakan  mesyuarat untuk melaksanakan program Pesta Pantai dalam waktu terdekat,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Manis FM bersama Noor Arfa Craff Complex (NACC) di Cendering di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Manis FM, Ozarizan Mohd Nor dan Pengarah Urusan Noor Arfa Holding, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin.

Mengenai program Larian Jambatan Sultan Mahmud dan Kapas Marang Swimathon yang pernah dibatalkan sewaktu pemerintahan Pas pada tahun 1999 hingga 2004 kerana melibatkan etika berpakaian, katanya program itu tetap diteruskan dengan menampilkan pendekatan sedikit berbeza.

“Setiap program yang telah dan akan dilaksanakan akan dinilai serta dikaji semula dengan melakukan beberapa penambahbaikan supaya mampu memberi manfaat dalam usaha kita menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Mana-mana program yang melibatkan aurat, kita akan kaji dari segi etika pakaiannya untuk disesuaikan,”ujarnya.

Sementara itu ketika berucap dalam majlis tersebut, Ariffin berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak Manis FM bagi membantu meningkatkan promosi pelancongan terutama dalam sektor pelancongan Islam.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN