JOHOR BAHRU 6 Julai – Keputusan kerajaan negeri untuk memberikan 10 meter padu air percuma dengan perbelanjaan RM25 juta setahun hanya akan menguntungkan syarikat air yang dimiliki pihak swasta.
![]() |
|
Datuk Ir. Hasni Mohammad
|
Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, walaupun mahu menunaikan
janji yang dibuat Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung perkara itu.
Ini kerana, katanya, faedah pemberian 10 meter padu air percuma itu tidak memberi kesan kepada rakyat, malah kerajaan negeri hilang RM25 juta setahun, satu jumlah hasil yang besar bagi sesebuah negeri.
“YAB Menteri Besar perlulah memahami dan mendapat gambaran daripada syarikat air Johor terlebih dahulu berkaitan cara penetapan kadar air yang dikenakan selain perlu berpuas hati dengan kos rawatan air yang dikenakan SAJ Ranhill berpatutan atau tidak.
“Dengan membayar SAJ Ranhill RM25 juta setahun ditambah dengan kenaikan tarif air yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2019, maka jelas rakyat akan terus diperbodohkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan kerajaan negeri akan memberikan air percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan sasar seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan bermula hujung bulan depan.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco yang diadakan kelmarin membabitkan 395,000 individu dan melibatkan perbelanjaan RM25 juta setahun. – UTUSAN ONLINE











