KUALA LUMPUR 25 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hanya akan membuat keputusan sama ada menerima tawaran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau sebaliknya selepas berbincang dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Jelas Presiden UMNO itu, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang tawaran rasmi untuk jawatan tersebut yang secara lazimnya diisi oleh ahli Parlimen kerajaan.
“Secara lazimnya juga Timbalan Pengerusi PAC diisi oleh ahli Parlimen pembangkang jadi saya akan berbincang dengan rakan-rakan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Pas yang berada dalam blok pembangkang.
“Secara lazim juga terdapat empat orang dari pembangkang akan dipilih menduduki jawatankuasa tersebut dan oleh kerana saya hanya membaca laporan media dan tidak menerima tawaran rasmi. Saya hanya akan mengambil tindakan setelah tatacara mengikut kelaziman amalan Parlimen itu telah saya terima,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE










