PUTRAJAYA – Seramai 88 Ahli Parlimen dan kira-kira 72 anggota pentadbiran kerajaan mengikuti program Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Program yang berlangsung selama sehari itu berjaya menghimpunkan hampir kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan anggota pentadbiran kerajaan.
Taklimat tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Jemaah Menteri.
Ia merupakan taklimat yang julung-julung kali diadakan sejak Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Dalam amanatnya kepada Ahli-Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan, Mahathir melahirkan harapan agar tiada seorang pun daripada mereka termasuk wakil-wakil rakyat PH terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.
“Kita harus mempamerkan diri sebagai pemimpin yang berwibawa, amanah, berintegriti dan tidak bertoleransi dengan jenayah rasuah.
“Setiap daripada kita perlu mendokong agenda antirasuah nasional dan merealisasikan agenda membebaskan negara daripada isu rasuah,” katanya.
Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pula menyampaikan taklimat tentang peranan dan fungsi pusat berkenaan.
Sebanyak lima pembentangan berkaitan dengan pengisytiharan harta, penerimaan hadiah, pengurusan dan pentadbiran peruntukan Ahli-Ahli Parlimen selain kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 telah disampaikan.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai kesalahan-kesalahan lazim yang dilakukan oleh anggota pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen. – K! ONLINE










