SHAH ALAM 7 Julai – Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilantik atas tiket lantikan politik digesa supaya melepaskan jawatan masing-masing dan tidak perlu menunggu sehingga dipecat.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dalam nada sinis berkata, semua individu terbabit seharusnya memahami sendiri tentang kedudukan mereka berikutan kerajaan sudah bertukar.
Katanya, sekiranya mereka faham, tidak perlu mengikut prosedur iaitu menunggu sehingga tempoh lantikan tamat berikutan perletakkan jawatan hanya memerlukan surat sahaja.
“Semua jawatan termasuk Datuk Bandar yang dilantik mempunyai tempoh lantikan masing-masing.
“Namun, sekiranya mereka mengatakan mengikut prosedur, ia hanya alasan semata-mata. Kita tidak mahu mengambil tindakan memecat kerana hendak menjaga maruah sekaligus baik untuk portfolio mereka,” katanya ketika ditemui di majlisnRumah Terbuka Pakatan Harapan Shah Alam di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khalid yang baharu mengangkat sumpah pada Selasa lalu menjelaskan, kementeriannya telah diberikan satu lagi portfolio tambahan iaitu kesejahteraan bandar.
“Peranan kementerian akan dikembangkan dan bukan sekadar wilayah persekutuan sahaja. Namun, setakat ini belum ada sebarang penjelasan terperinci mengenai peranan portfolio tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa bukan hanya menjaga tiga wilayah iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, tetapi melibatkan seluruh negeri,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










