Ahli akademik lebih sesuai jadi Presiden UIAM - Utusan Malaysia

Ahli akademik lebih sesuai jadi Presiden UIAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat jawatan presiden institusi tersebut lebih sesuai dilantik daripada dalam kalangan ahli akademik berbanding ahli politik.

Bagaimanapun kedua-dua pertubuhan itu tidak menolak mana-mana lantikan daripada dalam kalangan ahli politik asalkan mempunyai wawasan dan hala tuju yang jelas untuk institusi berkenaan.

AMIR RIDWAN
AMIR RIDWAN

Presiden MPM UIAM, Amir Ridwan berkata, apa yang jelas, berbeza dengan ahli politik, ahli akademik mempunyai kefahaman yang lebih baik terhadap keperluan serta hala tuju universiti.

Katanya, amat penting bagi UIAM dan IPTA lain mempunyai peneraju yang boleh memberikan fokus tidak berbelah bahagi terhadap universiti dan tidak mencampuradukkan kepentingan universiti dengan urusan lain seperti politik.

“Pada dasarnya, MPM tidak mempunyai masalah siapa jua yang dilantik ke jawatan Presiden UIAM asalkan individu berkenaan dapat memberikan hala tuju yang jelas kepada institusi ini khusus sebagai sebuah universiti Islam.

“Ini tidak bermakna MPM menolak lantikan (Presiden) daripada kalangan ahli politik, cuma, jika jawatan berkenaan diberikan kepada ahli akademik tulen, kami berpendapat itu lebih sesuai berdasarkan kefahaman dan fokus mereka kepada UIA,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas mengenai desas-desus mengatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bakal dilantik menjadi presiden baharu UIAM ekoran tamat tempoh perkhidmatan Tan Sri Dr. Rais Yatim pada awal Jun lalu. Rais dilantik ke jawatan itu pada 2 Jun 2013 bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Amir yang juga siswa jurusan Ekonomi berkata, tokoh intelektual negara, Prof. Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah individu paling sesuai untuk menjawat jawatan Presiden UIAM.

Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UIAM (ASA IIUM), Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, apa yang penting adalah individu yang bakal menjawat jawatan presiden universiti itu perlu mengangkat martabat ilmu dan ilmuwan.

Jelasnya, memiliki sikap positif terhadap kebebasan akademia, adalah ciri lain yang amat penting dimiliki oleh individu yang bakal dilantik presiden itu.

“Kebiasaannya, ahli akademik memiliki kelebihan kerana mereka lebih hampir kepada realiti dalam universiti berbanding ahli politik.

“Ahli politik mungkin sedikit terjarak daripada realiti universiti tetapi mereka mempunyai jaringan industri yang lebih baik berbanding ahli akademik,” katanya.

Dr. TUNKU MOHAR TUNKU MOHD. MOKHTAR
Dr. TUNKU MOHAR TUNKU MOHD. MOKHTAR

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Politik itu berkata, pada masa ini terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai siapa yang bakal dilantik untuk mengisi jawatan yang antara lain berfungsi sebagai penasihat kepada universiti itu.

Mengikut Perlembagaan IIUM, jelas beliau, sama seperti IPTA lain, lantikan untuk jawatan berkenaan kata beliau, dibuat oleh oleh Ketua Perlembagaan UIAM yang juga Canselornya iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Kata beliau, secara keseluruhannya, komuniti akademik UIAM mahukan presiden yang boleh mengangkat imej universiti tidak kira individu berkenaan seorangahli akademik atau politikus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN