KUALA LUMPUR – Tan Sri Richard Malanjum malam tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa semalam.
Malanjum (gambar kecil), 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.
Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.
Malanjum yang merupakan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md. Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai lalu.
Sejurus selesai upacara angkat sumpah tersebut, Bernama melaporkan Sultan Muhammad V mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan watikah kepada Datuk David Wong Dak Wah sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Malanjum.











