KOTA BHARU 24 Julai – Kerajaan Pas Kelantan digesa memberi perhatian serius dan bekerja lebih kuat mengatasi gejala penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata, bilangan penagih meningkat setiap tahun berbanding negeri lain seperti Perlis, Kedah dan Perak yang juga bersempadan dengan negara jiran tetapi menunjukkan penurunan.
“Rakyat sedang memerhatikan kita, pil kuda yang dikaitkan dengan kita sudah seharum dengan nama negeri kita Serambi Mekah, tidak ada satu kampung pun yang bebas daripada pil kuda, begitu juga dengan penagihan air ketum.
“Kelantan mempunyai penagih tertinggi dalam negara kita iaitu 3,700 orang pada 2017 dan 7,070 orang kena pengawasan (OKP) yang bilangannya meningkat dari tahun ke tahun.
“Kita bukan mahu mencari salah sesiapa tetapi semua usaha perlu dipertingkatkan sama ada melalui kempen kesedaran, penguatkuasaan undang-undang, khutbah di masjid dan sebagainya,” katanya semasa membahas titah Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra pada sesi petang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Adanan Hassan (Pas-Kelaboran) pula berkata, sudah tiba masanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti pemerintah dan pembangkang duduk semeja untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, punca utama jenayah berleluasa adalah disebabkan penagihan dadah seperti pil kuda dan ketum yang berleluasa di kalangan muda mudi.
“Ramai muda mudi terlibat dengan dadah yang menjadi punca berlakunya pecah rumah, ragut dan tidak hormat ibu bapa.
“Kita perlu bersama pihak polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), institusi masjid dan pemimpin masyarakat kerana kalau kita biarkan maka generasi muda akan terus rosak dan menjadi ancaman besar kepada keselamatan di kawasan masing-masing.
“Marilah kita duduk semeja, berbincang cari kaedah penyelesaian sepatutnya, berganding bahu supaya gejala dadah dapat dikurangkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










