Saya merasa pelik. Bolehkah Peguam Negara atau sesiapa di Jabatan Perdana Menteri menjelaskannya?
Dilaporkan bahawa Tun Md Raus Sharif, Ketua Hakim Negara telah mengemukakan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 1 Ogos 2018.
Kini beliau sedang bercuti. Pada 11 Julai 2018 pukul 9.30 malam, Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara. Soalannya, bolehkah Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ketika Tun Raus belum mengosongkan jawatan itu?
Walaupun Tun Raus telah memberi notis perletakan jawatannya, ia hanya akan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2018. Walaupun bercuti, beliau masih memegang jawatan itu.
Memandangkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum berkuat kuasa serta-merta, ia bermakna bahawa dari 9.30 malam pada 11 Julai 2018 hingga 12.00 tengah malam 31 Julai 2018, terdapat dua orang Ketua Hakim Negara. Adakah pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sah?
Dikatakan bahawa Tan Sri Raus diberi “cuti taman” (garden leave), yang bermaksud bahawa beliau telah diarahkan untuk tidak melakukan sebarang kerja semasa tempoh notis itu, tetapi masih dibayar gaji.
Itu mungkin amalan di sektor swasta yang mungkin juga diterima pakai di sektor awam yang melibatkan pegawai tadbir.
Saya menghujahkan bahawa amalan itu tidak boleh dipakai kepada Ketua Hakim Negara, yang kuasanya diberikan oleh Perlembagaan dan undang-undang. Tiada siapa, termasuk Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk membuang kuasa itu.
Mengapa upacara mengangkat sumpah itu dilakukan pada waktu malam yang mengejutkan semua orang? Adakah Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri begitu sibuk pada siang hari sehingga ia perlu dilakukan pada waktu malam? Sekiranya Majlis Raja-Raja telah dirunding dalam mesyuaratnya pada 11 Julai 2018, mengapa tergesa-gesa angkat sumpah pada malam sama?
Bilakah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bermesyuarat dan membuat cadangannya kepada Perdana Menteri?
Siapa yang mempengerusikan mesyuarat itu? Tan Sri Raus masih Ketua Hakim Negara walau apa pun pandangan seseorang mengenai pelantikannya.
Pelantikannya tidak diisytihar tidak sah oleh mana-mana mahkamah. Sepatutnya beliau mempengerusi mesyuarat itu.
Walaupun bercuti, beliau sepatutnya dimaklumkan dan mempengerusi mesyuarat itu.
Sekiranya beliau dan Tan Sri Zulkefli, Presiden Mahkamah Rayuan, atas sebab-sebab tertentu, tidak dapat mempengerusikan mesyuarat itu, orang yang sepatutnya mempengerusikan mesyuarat itu ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar (Malaya). Dari segi protokol, beliau lebih kanan daripada Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar (Sabah dan Sarawak).
Masalah yang saya timbulkan sepuluh tahun lalu, apabila Rang Undang-undang SPK dibentangkan di Parlimen yang diterima pakai oleh Ahli Parlimen pembangkang (kini dalam kerajaan PH) semasa perdebatan, menjadi kenyataan.
Menurut protokol, Hakim Besar (Malaya) lebih tinggi daripada Hakim Besar (Sabah dan Sarawak).
Oleh itu, Tan Sri Ahmad Maarop sebenarnya berada di hadapan bagi menyandang jawatan Ketua Hakim Negara (jika Tan Sri Zulkefli meletak jawatan pada tarikh yang sama dengan Tun Raus).
Oleh itu, kedua-duanya Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Richard Malanjum perlulah menarik diri daripada mempengerusikan atau duduk dalam mesyuarat SPK ketika ia berbincang pengganti Tun Raus.
Akhir sekali, mengapa Badan Kehakiman hanya diwakili oleh Ketua Pendaftar? Beliau seorang pentadbir, bukan seorang Hakim.
Jika Tun Raus (Ketua Hakim Negara) dan Tan Sri Zulkefli (Presiden Mahkamah Rayuan) bercuti, selepasnya Hakim Besar (Malaya), Tan Sri Ahmad Maarop dan, selepasnya, terdapat banyak Hakim Mahkamah Persekutuan.
Sudah tentu, salah seorang daripada mereka boleh hadir.
* Penulis ialah bekas Ketua Hakim Negara










