IPOH – Desas-desus Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Shahrul Azhar Sofian ditamatkan tugas kelmarin terjawab apabila Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim mengumumkan nama baharu bagi jawatan tersebut hari ini.
Perkara tersebut menjadi bualan dalam kalangan peminat The Bos Gaurus sejak semalam selepas Ahmad Shahrul Azhar menerima surat penamatan jawatan tersebut daripada Pafa kelmarin.
Ahmad Shahrul Azhar dilantik untuk memegang jawatan Setiausaha Kehormat Pafa pada 1 Julai tahun lalu.
Dalam sidang akhbar hari ini, Hasnul Zulkarnain mengumumkan Naib Presiden Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaludin sebagai Setiausaha Agong Pafa selepas perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif PAFA penggal 2018-2021 Isnin lalu.
Menurutnya, Presiden berhak melantik beberapa individu untuk mengisi jawatan yang ada di dalam Pafa dan perkara tersebut tidak terikat dengan kontrak.
“Tiada istilah Ahmad Shahrul Azhar ditamatkan kontrak kerana jawatan tersebut dilantik tanpa kontrak tempoh masa.
“Setiausaha Kehormat yang dijawat beliau tidak mempunyai kontrak dan Presiden berhak melantik individu yang dirasakan layak selepas berbincang dengan Ahli Majlis Tertinggi Pafa,” katanya.
Tambah Hasnul Zulkarnain, jawatan lain yang disandang bekas kapten pasukan kebangsaan dan Perak itu iaitu Pengurus Pasukan Perak masih dikekalkan. – K! ONLINE









