JOHOR BAHRU 16 Julai – Polis menahan sembilan termasuk seorang lelaki warga Singapura berhubung kes penculikan seorang lelaki warga Indonesia di Bukit Gambir, Tangkak, pada 27 Jun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dalam kejadian itu, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan dua rakannya warga Indonesia telah diculik sekumpulan lelaki tempatan.
“Isteri mangsa turut memberitahu pengadu bahawa penculik telah menghubunginya dan meminta membayar wang berjumlah RM450,000.
“Susulan laporan polis yang diterima, pihak polis telah membuat empat serbuan di Batu Pahat, Muar dan bandar raya ini antara Khamis hingga Sabtu lalu dan menahan kesemua sembilan suspek termasuk lelaki warga Singapura berusia antara 20 hingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khalil berkata, susulan penahan kesemua suspek, pihaknya berjaya menyelamatkan seorang mangsa manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri ketika diculik. – UTUSAN ONLINE










