80 peratus guru Pasti miliki diploma 2023 - Utusan Malaysia

80 peratus guru Pasti miliki diploma 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Pu­sat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Malaysia menyasarkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 8,000 gurunya mempunyai kelayakan diploma menjelang 2023.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, buat permulaan seramai 188 guru di seluruh negara telah terpilih mengikuti latihan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak secara berpe­ringkat di Institut Perguruan Pasti Malaysia (IPPM) yang dirintis mulai tahun lalu.

Katanya, langkah itu sejajar untuk menyahut seruan kerajaan Persekutuan yang mahukan seluruh tenaga pengajar prasekolah memiliki kelulusan berkenaan menje­lang 2020 di samping mening­katkan kualiti dan mutu perkhidmatan guru Pasti di seluruh negara.

“Pada peringkat awal ini kita pilih guru-guru yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai sijil.

“Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat saban tahun dengan sasaran 80 peratus tenaga pengajar Pasti memiliki diploma dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Kali Ke-10 IPPM di salah sebuah hotel, di sini semalam.

Seramai 868 graduan IPPM akan menerima sijil dan diploma ma­sing-masing pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Dalam majlis itu, tiga graduan yang menerima Anugerah Dekan adalah Salmiza Mohd. Azmi, Nur Azma Nazlan dan Wan Nur Khairunnisaa’ Wan Abdul Aziz.

Mohd. Azam berkata, konvo­ke­s­yen IPPM kali ini merupakan yang terakhir membabitkan latihan peringkat sijil dan selepas ini pihaknya akan terus memperkasakan latihan diploma dengan lebih meluas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN