KUALA LUMPUR 15 Julai – Sebanyak 66 keluarga menuntut Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) menjelaskan bayaran pampasan kerosakan rumah yang berpunca daripada pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) di Taman Sri Raya, Batu 9 Cheras di sini.
Tuntutan dibuat berikutan keretakan pada struktur rumah dan masalah banjir kilat yang didakwa berpunca daripada pembinaan projek MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari 2014 hingga 2017.
Setiausaha Badan Bertindak Jawatankuasa Penduduk Taman Sri Raya, Zakaria Mahzan berkata, penduduk kecewa dengan tindakan MRT Corp. yang masih gagal membayar tuntutan ganti rugi selepas lima tahun projek itu dilaksanakan.
Sehubungan itu, pihaknya menuntut syarikat berkenaan menyegerakan bayaran dan memberi sejumlah pampasan yang berpatutan kepada penduduk yang terlibat.
“Walaupun MRT Corp. melalui kontraktor Ahmad Zaki Sbn. Bhd. telah mengambil tindakan membaik-pulih keretakan dan kerosakan di beberapa kediaman penduduk namun pembaikan hanya berbentuk kosmetik sahaja.
“Ini kerana keretakan termasuk kerosakan kekal berlaku sepanjang tempoh pembinaan itu dilaksanakan sehingga memaksa penduduk membaiki sendiri rumah mereka,” katanya dalam sidang akhbar bersama penduduk di sini hari ini.
Menurutnya, tuntutan itu dibuat bagi membela nasib penduduk termasuk yang telah menerima sejumlah pampasan dirasakan tidak setimpal dengan kerosakan.- UTUSAN ONLINE










