61 penternak pelajari kaedah penyembelihan ternakan ikut syarak - Utusan Malaysia

61 penternak pelajari kaedah penyembelihan ternakan ikut syarak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK 29 Julai – Penyembelihan haiwan dalam Islam adalah sangat penting kerana jika tidak melakukannya mengikut hukum syarak diistilahkan sebagai bangkai dan najis.

Menyedari tuntutan dan tanggungjawab itu, Jabatan Perkhid­matan Veterinar (JPV) Daerah Tangkak menganjurkan Kursus Amalan Baik Penyembelihan Ternakan 2018 kepada 61 penternak di Balai Raya Kampung Sagil Parit 1, di sini baru-baru ini.

Kursus berkenaan adalah satu usaha memberi kefahaman kepada pengusaha yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyembelihan ternakan.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Tangkak, Mohd. Nazri Omar berkata, kursus sehari itu juga untuk memberi keseda­ran bagi mengamalkan kaedah penyembelihan ternakan.

Katanya, peserta yang terdiri daripada kalangan umat Islam diberikan tunjuk ajar dan kaedah penyembelihan mengikut lunas yang dituntut agama secara teori dan amali.

“Peserta mengikuti ceramah Amalan Penyembelihan Baik di­­sam­paikan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Johor, Zamari Mohd. Amin manakala Ustaz Said Abd. Kadir Said Mohamad dari Pejabat Agama Daerah Tangkak menyampaikan ceramah Kaedah Penyembelihan Mengikut Hukum Syarak.

“Skop kursus ini memberi fokus kepada perundangan jabatan, kebajikan haiwan, pematuhan kepada hukum syarak dan penerapan amalan penyembelihan baik untuk memastikan produk yang diperolehi suci dan halal serta selamat dimakan,” katanya berucap merasmikan kursus itu.

Mohd. Nazri berkata, peserta yang terdiri daripada penternak ruminan dan fidlot, peraih ternakan dan peserta rumah sembelih jabatan dan swasta turut mengikuti amali penyembelihan ternakan dikendalikan Pemeriksa Vete­rinar JPV Johor, Sukeri Mamat@Muhamad di Rumah Pe­nyembelihan Mohd. Janis Sdn. Bhd. di Kampung Parit Kassan.

Beliau berharap peserta kursus dapat manfaat untuk diamalkan di premis mereka dan memastikan agar aktiviti penyembelihan ternakan dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan dan kese­lamatan makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN