TAWAU 18 Julai – Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam satu operasi di Pantai Tanjung Batu Laut, di sini semalam.
Kesemua suspek berkenaan berada di dalam sebuah bot laju yang dipercayai sedang menuju ke Pulau Sebatik kira-kira pukul 6.50 petang.
Menurut kenyataan Esscom, juragan bot terbabit bagaimanapun sempat melarikan diri dengan terjun ke laut apabila menyedari kehadiran anggota keselamatan dalam operasi yang turut disertai Unit Risikan Marin Tawau.
“Anggota keselamatan kita telah terserempak dengan sebuah bot laju yang mencurigakan bergerak dari arah Pantai Tanjung Batu Laut menuru ke arah Pulau Sebatik.
“Apabila dihampiri, juragan tersebut cuba mengelak pasukan keselamatan dan terus memandu laju bot itu namun telah terkandas di Pantai Tanjung Batu Laut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot berwarna kelabu itu didapati terdapat lima penumpang warga asing yang tidak mempunyai dokumen diri sah serta seunit enjin sangkut jenama Yamaha.
Menurut Esscom, kes disiasat mengikut Sekyen 4.1 Akta Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










