KEMAMAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu terpaksa menggunakan kira-kira 14,000 liter buih selain beribu-ribu liter air untuk kerja-kerja memadam kebakaran yang melibatkan tiga tangki minyak mentah di kilang memproses tar milik Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn. Bhd. di Telok Kalong di sini semalam.
Kerja-kerja pemadaman kebakaran yang bermula pukul 6.15 petang itu dijangka mengambil masa antara 24 hingga 48 jam.
Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, operasi memadam api melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota bomba dari Terengganu dan Pahang.
Katanya, kebakaran itu melibatkan tiga tangki berisi minyak mentah yang berkapasiti lebih 20,000 meter padu.
Difahamkan, minyak mentah itu mengandungi bitumen yang digunakan dalam pembuatan tar.











