IPOH 26 Julai – Cubaan 42 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing menyembunyikan diri dalam tiga lorong rahsia di sebuah pusat karaoke di Taman Canning di sini gagal apabila berjaya diberkas pihak polis hari ini.
Kesemua GRO yang ditahan dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu terdiri daripada lima wanita warga Vietnam dan 37 warga China berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak itu turut menahan enam pekerja premis itu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh.
Berita berkaitan:
Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain, pemeriksaan di premis berkenaan mendapati terdapat tiga pintu rahsia yang menghubungkan tiga lorong bagi membolehkan kesemua GRO tersebut menyembunyikan diri.
Katanya, sebelum itu, penjaga premis akan menghidupkan alat penggera bagi memberi isyarat kepada mereka yang berada di dalam bangunan tentang kehadiran pihak polis.
“Ketika serbuan dijalankan, tiada wanita ditemui namun selepas pemeriksaan, kita berjaya mengesan tiga lorong rahsia termasuk satu daripada lorong rahsia itu dikawal oleh alat kawalan jauh.
“Anggota polis mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk mengesan dan memecah tiga lorong rahsia tersebut yang berkeluasan kira-kira satu meter persegi itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE











