42 GRO ditahan, polis ambil masa 90 minit kesan, pecah masuk bilik persembunyian - Utusan Malaysia

42 GRO ditahan, polis ambil masa 90 minit kesan, pecah masuk bilik persembunyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sejumlah 42 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Ipoh di sini awal pagi tadi. 

Dalam serbuan pada pukul 1.10 pagi oleh 24 anggota dan sembilan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu terpaksa mengambil masa sejam setengah untuk mengesan dan memecah masuk bilik persembunyian mereka.

Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman SAC Mohd. Nadzri Hussain berkata, daripada semua GRO tersebut, 37 wanita merupakan warga China manakala lima yang lain adalah warga Vietnam yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam setengah untuk mengesan dan memecah masuk tiga bilik persembunyian mereka di premis empat tingkat itu.

“Kita mendapati setiap tingkat pusat karaoke ini dilengkapi sistem keselamatan seperti penggera bagi memberi amaran kepada GRO agar bersembunyi ketika serbuan dilakukan dan pintu ke bilik rahsia dikawal alat kawalan jauh yang menyukarkan polis memecah masuk,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini pagi tadi.

Difahamkan, bilik rahsia yang berada di sebalik dinding dan panel elektrik tersebut turut mempunyai pendingin hawa dan minuman. 

Tambah Mohd. Nadzri, dalam serbuan itu juga pihaknya turut menjumpai dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dan dua batang rokok disyaki mengandungi dadah jenis ganja.

“Enam penjaga premis termasuk seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan dan kita turut melakukan pemeriksaan rambang dan ujian air kencing terhadap 89 pelanggan pusat karaoke berkenaan. 

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut dan kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN