SHAH ALAM 23 Julai – Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menghadiri perhimpunan bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu teruja apabila dimaklumkan sebanyak 4,000 tiket perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara pasukan pilihan Selangor dan Singapura pada 25 Ogos ini akan diagihkan kepada mereka.
Tiket-tiket tersebut diserahkan oleh Pengurus Pasukan Pilihan Selangor, Tan Sri Karim Shaikh Munisar kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad dalam satu perhimpunan tersebut, hari ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tiket-tiket itu turut diserahkan kepada Pengurus Pasukan Bola Sepak MBSA, T. Anbarasan untuk diagih-agihkan kepada para pemainnya.
“Bagi menggalakkan barisan pelapis pasukan bola sepak kami untuk hadir menimba pengalaman, Pengurus Pasukan Soccerkids MBSA yang merupakan pasukan bola sepak cilik turut menerima tiket dan juga para pemain bola sepak MBSA,” katanya kepada pemberita di Wisma MBSA di sini, hari ini.
Perlawanan Piala Sultan Selangor akan diadakan pada 25 Ogos ini di Stadium Shah Alam melibatkan Pasukan Pilihan Selangor dan Singapura. – UTUSAN ONLINE











