KUALA LUMPUR 16 Julai – Empat suspek termasuk sepasang suami isteri ditahan kerana terlibat dengan kes samun kedai telefon bimbit di Puchong Prima, dekat sini pada 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, polis menerima laporan pada 23 Mei lalu berkaitan dua lelaki bersenjata api dan pisau menyamun sebuab kedai telefon bimbit.
“Mangsa mengalami kerugian RM19,687 dan siasatan polis akhirnya membawa serbuan pertama di Pangsapuri Enggang, Kinrara, dekat sini pada 12 Julai lalu kira-kira pukul 10 malam.
“Melalui serbuan itu, kita menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 29 tahun yang mengaku sebagaiseorang suspek kes samun tersebut dan merampas sepucuk pistol tiruan,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Menurut Mohamad Azlin, serbuan kedua dilakukan di Taman Puchong Indah, dekat sini dengan menahan seorang lelaki dan merampas sebuah motosikal serta pisau.
Jelasnya, serbuan ketiga dilakukan empat jam kemudian di kawasan sama dan menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam jenayah itu.
Bagaimanapun, ujarnya, polis masih mencari seorang lelaki yang juga rakan serumah suspek keempat iaitu Mohammad Mat Yusof berusia 27 tahun.
“Orang ramai yang mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










