381 pusat jagaan 
ditutup akibat HFMD - Utusan Malaysia

381 pusat jagaan 
ditutup akibat HFMD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Julai – Sebanyak 381 pusat jagaan di seluruh negara ditutup sejak Januari sehingga 14 Julai lalu berikutan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, pusat jagaan yang ditutup terdiri daripada 179 taska, tadika prasekolah (181) dan sekolah (21).

“Setakat ini tiada sebarang laporan melibatkan kematian dicatatkan susulan langkah pencegahan segera yang telah diambil.

“Penyakit ini endemik dan ia sedia ada, namun setakat ini masih berada pada tahap terkawal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persida­ngan Kesihatan Awam Kebangsaan Ke­sembilan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd Ali dan Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Profesor Datuk Dr. Syed Mohamed Al-Junid.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sebanyak 31,087 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sejak Januari hingga 14 Julai lalu berbanding hanya 21,841 kes dalam tempoh sama pada tahun sebe­lumnya.

Secara tidak langsung, katanya, bilangan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 42.3 peratus.

“Berdasarkan data yang diperoleh dan analisis yang dijalankan, hanya Sabah dan Sarawak tidak menunjukkan peningkatan bilangan kes.

“Kita telah arahkan Jabatan Kesihatan negeri untuk turun padang me­nemuramah pesakit serta ahli keluarga apabila terdapat kes yang dilaporkan,” katanya.

Bagi kes yang lebih serius katanya, pihaknya telah mengarahkan nurseri, tadika, taska atau pusat asuhan ditutup serta-merta ekoran virus penyakit tersebut mudah merebak dengan cepat melalui sentuhan.

Dalam pada itu, Azman turut menggesa orang ramai khususnya pengusaha pusat jagaan untuk sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak di samping membuat saringan di premis masing-masing bagi mengelak pesakit yang dijangkiti hadir ke nurseri, tadika, taska atau pusat asuhan dan sekolah.

“Ibu bapa kanak-kanak yang mempunyai gejala HFMD juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak ke tempat awam atau membenarkan mereka ke pusat jagaan selain memastikan kebersihan semua peralatan dan alat permainan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN