38 warga tempatan sokong LTTE - Utusan Malaysia

38 warga tempatan sokong LTTE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Menyebarkan propaganda kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) melalui percetakan risalah selain menulis artikel yang menunjukkan soko­ngan terhadap perjuangan gerakan berkenaan.

Itu peranan seorang daripada 38 warga tempatan yang dikenal pasti menyokong dan terlibat dalam aktiviti mempromosi kumpulan pengganas tersebut sejak tahun 2000 sehingga kini.

Lebih mengejutkan, individu yang dipercayai menjadi orang penting gerakan tersebut di negara ini juga pernah cuba membantu mendapatkan pasport untuk anggota LTTE Sri Lanka yang disenarai hitam bagi urusan ke luar masuk ke negara ini serta mendakwa mempunyai ‘orang tengah’ di Jabatan Imigresen namun usaha itu gagal.

Menurut sumber, individu berkenaan yang bergiat aktif dalam politik tanah air turut menjadi ahli jawatan kuasa LTTE bagi menggubal perlembagaan pemisahan bahagian utara dan timur Sri Lanka.

Ujarnya, dia juga dilantik sebagai penasihat kepada ‘kerajaan sementara’ di negara tersebut serta pernah berjumpa pengasas dan pemimpin gerakan berkenaan, V. Prabakaran yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Sri Lanka pada 2009.

Jelasnya, selain itu, seorang lagi anggota LTTE yang dikesan bergerak aktif dalam memperjuangkan ideologi kumpulan pengganas tersebut di Malaysia.

“Individu berkenaan bukan sahaja terlibat malah turut menganjurkan majlis-majlis yang berkaitan LTTE serta pengasas kepada sebuah pertubuhan yang menyokong serta mengagungkan pengasas gerakan tersebut di negara ini.

“Setakat ini tiada lagi rakyat tempatan yang ditahan kerana terlibat dalam kumpulan tersebut namun kesemua 38 individu ini dipercayai dalam pemantauan PDRM dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut sumber, antara modus operandi gerakan LTTE bagi merekrut serta menyebarkan ideologi dengan mengeksploitasi perayaan ‘Ponggal’, aktiviti pertahankan diri serta kanak-kanak.

Sumber berkata, contohnya perayaan ‘Ponggal’ yang diraikan dengan meletakkan gambar Prabakaran bagi meraih simpati serta merekrut anggota di sekitar Lembah Klang selain menggunakan kanak-kanak untuk menyanyikan lagu-lagu LTTE bagi menyemarakkan semangat juang dalam upacara tersebut.

“Aktiviti merekrut juga berlaku dalam aktiviti seni mempertahankan diri yang popular iaitu Silambam. Mereka percaya kebolehan yang dimiliki oleh pemain Silambam mampu melahirkan pemimpin yang berani di masa akan datang.

“Sehingga kini, modus ope­randi tersebut masih aktif dilakukan oleh penyokong LTTE di negara ini bagi menyebarkan ideologi LTTE di samping menghidupkan semula perjuangan gerakan tersebut di Sri Lanka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN