371 sekolah di Sarawak belum ada bekalan elektrik, 428 tiada bekalan air terawat - Utusan Malaysia

371 sekolah di Sarawak belum ada bekalan elektrik, 428 tiada bekalan air terawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 17 Julai – Sebanyak 371 sekolah di Sarawak masih belum menikmati bekalan elektrik dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada set genarator ketika ini.

Namun Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong berkata, di bawah kerajaan Persekutuan sebelum ini, isu yang mencetuskan kontroversi itu cuba diatasi dengan memasang sistem solar hibrid yang diberi kontrak sejak 1 Januari tahun lalu.

Walau bagaimanapun, ujarnya, langkah itu bukan pilihan sepenuh kementerian untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Pada 2017, kementerian saya sudah mencadangkan 113 sekolah yang terletak di bawah 10 kilometer (km) dari grid elektrik untuk disambung dengan grid.

“Kos projek cadangan ini adalah RM50.juta dan kementerian bercadang untuk meneruskan permohonan ini kepada Kementerian Pendidikan di peringkat Pusat,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ke-18 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyambungan grid akan membolehkan sekolah terbabit mendapatkan bekalan elektrik 24 jam, manakala para guru serta murid turut menikmati keselesaan seperti rakan-rakan di kawasan bandar.

Dalam pada itu, Micheal Manyin berkata, setakat ini, sebanyak 428 sekolah masih belum menikmati bekalan air terawat.

Katanya, kesemua sekolah ini bergantung kepada sumber air hujan, air graviti, perigi dan sungai yang mana kualiti bekalan airnya diragui.

“Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Pendidikan Sarawak telah menghantar kertas cadangan pada 2016 kepada Kementerian Pendidikan memohon agar 62 sekolah berada pada jarak 1 km dari paip utama untuk disambungkan bekalan air.

“Anggaran kos bagi projek ini ialah RM9.2 juta. Sebanyak RM2.3 juta sudah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 1 Jun lalu dan Jabatan Pendidikan Sarawak masih menunggu waran bagi pelaksanaan projek ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN