30 maut pada hari mengundi - Utusan Malaysia

30 maut pada hari mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD – Rakyat Pakistan keluar mengundi semalam dalam pilihan raya yang mungkin menyaksikan bekas wira kriket Piala Dunia, Imran Khan menerajui negara selepas kempen yang dicemari campur tangan tentera dan keganasan pemberontak, menyaksikan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh pada hari mengundi.

Pilihan raya tersebut menandakan peralihan demokrasi di negara kuasa nuklear Islam itu selepas diperintah oleh tentera kira-kira separuh daripada usia penubuhannya.

Namun, proses demokrasi itu juga digelar sebagai ‘pilihan raya paling kotor’ berikutan tuduhan penipuan oleh pihak tentera yang menyokong Imran.

Sementara itu, keganasan berlaku pada hari mengundi apabila berpuluh-puluh orang maut dalam sera­ngan pengebom berani mati di bandar Quetta, barat daya Pakistan. Kumpulan militan Daesh mengaku mendalangi serangan tersebut

Pegawai pentadbiran tempatan, Hashim Ghilza berkata, pengebom cuba memasuki sebuah pusat membuang undi.

“Apabila polis cuba menahannya, lelaki itu meletupkan diri­nya,” kata Hashim kepada agensi berita AFP.

Terdahulu, berjuta-juta rak­yat Pakistan keluar mengundi dalam pilihan raya yang me­nyaksikan persaingan sengit antara Parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) pimpinan Imran dan Parti Liga Muslim Pakis­tan (PML-N) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif.

Imran menawarkan janji populis untuk membina negara Pakistan baharu dan berikrar akan menghapuskan rasuah, membersihkan persekitaran serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan lebih 19 juta pe­ngundi baharu termasuk golo­ngan wanita dan belia keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Sejumlah 800,000 anggota polis dan tentera pula dikerahkan untuk menjaga keamanan di lebih 85,000 pusat pengundian di seluruh negara menjelang hari mengundi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN