PULAU PINANG 30 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Spetember ini bagi keputusan representasi yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan kes rasuah melibatkan pembelian banglo di bawah nilai pasaran yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng memaklumkan pihaknya telah menghantar surat kepada Jabatan Peguam Negara 6 Julai lalu.
Ramkarpal berkata, surat yang dihantar bersama peguam Li Koon iaitu Datuk V. Sithambaram itu telah diterima oleh pihak pendakwaan pada tarikh sama.
Perkara itu diakui Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud yang memaklumkan mereka memerlukan masa sebulan untuk menelitinya representasi terbabit.- UTUSAN ONLINE










