3 pelajar direman - Utusan Malaysia

3 pelajar direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 20 Julai – Tiga remaja lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes melempar ‘bom’ buatan sendiri sehingga merosakkan tingkap bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini semalam.

Dua daripada pelajar berusia 15 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Mesira dan Kampung Sungai Keladi oleh sepasukan polis antara pukul 3.30 hingga 4.30 petang ini.

Seorang lagi yang turut berusia 15 tahun dan beralamat di Kampung Tanjung Panglima di sini pula menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

“Kesemua suspek dikenalpasti berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian selain temubual dengan guru disiplin sekolah berkenaan. Namun, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, warga SMK Penambang dikejutkan dengan bunyi letupan kuat diikuti dengan asap berkepul-kepul dari blok sekolah berkenaan selepas suspek dikatakan membaling bom buatan sendiri ke dalam kawasan sekolah.

Akibat kejadian pada pukul 11 pagi itu, sebanyak 80 bilah cermin tingkap bilik guru disiplin, bilik kaunseling dan dewan SMK Penambang pecah terkena letupan ‘bom’ buatan dipercayai menggunakan mercun bola yang diubahsuai.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN