3 lelaki ‘bertopeng’ larikan barang kemas - Utusan Malaysia

3 lelaki ‘bertopeng’ larikan barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT 8 Julai – Seorang pemilik kedai emas berputih mata apabila barang kemas dianggarkan bernilai RM210,000 dilarikan sekumpulan pencuri yang memecah masuk premisnya di Taman Ros, Parit Yaani di sini semalam.

SUSPEK menebuk peti besi tempat penyimpanan barang kemas di Taman Ros, Parit Yaani, Batu Pahat, Johor, semalam.

Kejadian antara pukul 3 pagi dan 4 pagi itu hanya disedari pemilik kedai emas berusia 25 tahun itu yang mahu membuka semula perniagaannya kira-kira tujuh jam kemudian.

Mangsa yang membuat pe­me­riksaan mendapati sebuah peti besi iaitu tempat menyimpan barangan kemas tersebut telah ditebuk oleh penjenayah.

Antara barang kemas yang hilang ialah 85 utas rantai leher, 71 rantai tangan dan 16 gelang tangan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek dipercayai menggunakan mesin pengorek untuk menebuk peti besi itu dengan membuat ruangan kecil yang hanya memuatkan sebelah ta­ngan bagi mengambil barang kemas tersebut.

“Pemeriksaan di bahagian belakang kedai mendapati pintu pagar dan tingkap besi telah dipotong. Suspek juga dipercayai me­rosakkan pendawaian kame­ra litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

“Walau bagaimanapun peme­riksaan CCTV berdekatan lokasi kejadian mendapati tiga lelaki memakai penutup muka dan bersarung tangan dipercayai masuk ke dalam kedai itu,” katanya di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, berda­sarkan rakaman CCTV juga, ketiga-tiga suspek dipercayai menggunakan kuku kambing untuk mengumpil tingkap besi premis, selain pemotong wayar dan me­sin pengorek.

“Kedai mangsa telah beropera­si lebih 10 tahun dan ini merupakan kejadian kali pertama di premis berkenaan,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha memburu kumpulan penjenayah giat dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN