LANGKAWI 15 Julai – Sebanyak 25 orang pelajar Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terdiri daripada 22 pegawai Polis dan Angkatan Tentera Malaysia mengadakan program pencegahan jenayah di Kuala Teriang dan Kuala Melaka di sini baru-baru ini.
Program yang turut disertai anggota Skim Rondaan Sukarela dan Polis itu melibatkan rondaan di kawasan-kawasan perkampungan berkenaan dengan objektif untuk merapatkan hubungan di kalangan penduduk dan anggota keselamatan dalam pembanterasan jenayah.
Timbalan Ketua Polis Langkawi, Deputi Superintenden Roszemi Mat Derus yang merasmikan program ini berkata penglibatan pelajar ini dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang aspirasi rakyat untuk melihat sebarang insiden jenayah dapat dibasmi.
“Hakikat bahawa jenayah kini menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan sikap orang ramai yang semakin sedar tentang kepentingan memerangi jenayah dan mengamalkan pendekatan sifar tolak ansur terhadap jenayah,” katanya.
Pensyarah Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Profesor Madya Dr. Yusoff Abdullah dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kuala Teriang/Kuala Melaka, Che Murad Draoh adalah antara yang turut serta dalam program berkenaan.- BERNAMA







