KUALA LUMPUR 28 Julai – Kerajaan mengenal pasti 249 orang daripada kalangan ahli komuniti yang berkelayakan dan memenuhi kriteria ditetapkan untuk dilantik sebagai Pembantu Pelindung,
Mereka yang berkelayakan itu akan berperanan untuk membantu Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat menangani isu keselamatan kanak-kanak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memperkenalkan konsep Pembantu Pelindung dalam Akta Kanak-kanak 2001 Pindaan 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 611 dalam usaha memperkasakan hak kanak-kanak di negara ini.
“Mereka yang bakal dilantik berperanan untuk membantu Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai barisan hadapan dalam menangani kes penderaan, pengabaian dan pemeliharaan kanak-kanak.
“Konsep utama Pembantu Pelindung adalah untuk mempercepatkan proses menyelamat kanak-kanak yang berada dalam keadaan terancam dan terabai di kawasan komuniti setempat masing-masing selain penggunaan Talian Kasih 15999 oleh masyarakat umum untuk melaporkan kes-kes ini,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Kanak-kanak (3K) 2018, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










