PULAU PINANG 1 Julai – Cubaan empat lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila dua daripadanya cedera selepas terkena tembakan amaran yang dilepaskan anggota terbabit.
Insiden itu berlaku ketika sepasukan anggota polis dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Barat Daya sedang mengadakan ‘snap check’ di Jalan Persiaran Bayan Indah berhampiran pusat beli belah Queensbay, di sini awal pagi tadi.
Kedua-duanya yang dirawat di Hospital Pulau Pinang bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan di bahagian siku dan paha.
Lebih malang, penahanan itu membawa kepada penemuan dua jenis dadah iaitu syabu seberat 7.3 gram dan ganja seberat 3.35 gram dalam kenderaan suspek.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, insiden bermula apabila salah seorang suspek yang memandu kenderaan terbabit cuba melanggar seorang anggota polis dan merempuh palang tempat letak kenderaan di situ selepas menyedari polis cuba menghampiri kenderaan mereka.
Katanya, suspek kemudian memandu laju melalui Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini hingga ke Lebuh Kampung Jawa.
“Anggota polis yang mengekori suspek cuba menghalang mereka dengan meletakkan ‘barricade’ (alat perintang jalan), namun turut dirempuh suspek.
“Bagi mempertahankan diri, anggota polis tersebut kemudian melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek dan berjaya menahan mereka,” katanya di sini hari ini.
Jelas Anbalagan, tiga daripada empat suspek yang berusia antara 17 hingga 21 tahun itu turut positif dadah jenis methampetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
“Kesemua mereka kini direman selama lima hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) dan Seksyen 6 ADB 1952. – UTUSAN ONLINE











