KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bertindak menyambung semula bekalan penghawa dingin di pusat beli-belah 1Borneo (1Borneo), Sepanggar dekat sini hari ini.
Menurut sumber, pihak SESB menyambung semula bekalan penghawa dingin tersebut kira-kira pukul 3.30 petang tadi selepas pengurusan 1Borneo membayar sebahagian jumlah tunggakan sebanyak RM3.5 juta.
“Bagi peringkat pertama mereka (1Borneo) menjelaskan hutang sebanyak RM705,000 pada 27 Jun lalu manakala RM3.5 juta hari ini.
“Sebaik sahaja menerima bayaran terbabit, pihak SESB segera menyambung kembali bekalan penghawa dingin yang dipotong sejak sembilan hari lalu,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, pada 11 Julai lalu, Kosmo! melaporkan pihak SESB memotong bekalan penghawa dingin di gedung berkenaan ekoran gagal membayar bil elektrik yang tertunggak sehingga mencecah RM9.3 juta.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati butik dan kiosk di dalam gedung terbabit masih beroperasi seperti biasa meskipun dalam keadaan utiliti yang disekat. – K! ONLINE










