19 syor berkaitan MH370 - Utusan Malaysia

19 syor berkaitan MH370

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Julai – Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370 iaitu badan yang menyiasat aspek keselamatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, menggariskan 19 syor dalam usaha melonjakkan manfaat serta keselamatan sektor penerbangan secara keseluruhannya.

Ketua Penyiasatnya, Datuk Kok Soo Chon berkata, syor-syor pasukan itu menerusi laporan siasatan keselamatannya yang dikeluarkan hari ini, ditujukan untuk perhatian Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Antara tujuh syor pasukan itu kepada DCA katanya, adalah agar jabatan itu mengkaji prosedur penyelarasan sedia ada atau mewujudkan prosedur baharu antara KL ATSC dan Pusat Kawalan Lalu Lintas Udara Bersama (JATCC).

Selain itu, jelasnya, jabatan tersebut juga perlu mengkaji sistem jadual bertugas bagi KL ATSC dengan objektif untuk memperbaiki suasana bekerja.

“MAB pula antaranya disyorkan untuk mengkaji proses sistem melapor serta aliran tindakan apabila kesihatan kru kabin mungkin memberi faktor risiko terhadap keselamatan operasi pesawat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi MAHB, Kok menegaskan, syarikat pengendali lapangan terbang itu disyorkan untuk mengkaji dan memperkenalkan prosedur-prosedur keselamatan untuk mengimbas kargo pada titik kemasukan (point of entry) di semua lapangan terbang.

“ICAO disyorkan mengkaji keberkesanan Alat Pemancar Lokasi Kecemasan ( ELT) yang dimuatkan di pesawat dan mempertimbangkan kaedah-kaedah untuk menentukan lokasi sesebuah pesawat memasuki kawasan air secara efektif,” katanya.

Laporan Siasatan Keselamatan Pasukan ICAO Annex 13 Malaysia boleh dimuat turun menerusi laman web mh370.mot.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN