KUALA LUMPUR 24 Julai – Adakah Malaysia jadi antara tempat persembunyian, transit atau tempat mencari dana untuk Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)? Itu persoalan yang timbul apabila kira-kira 18 pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) termasuk ketuanya telah ditangkap Pasukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8), Bukit Aman sejak 2009 kerana bersembunyi di negara ini.
Ahli kumpulan militan yang berasal dari Sri Lanka itu ditangkap di Kuala Lumpur, Perak serta Selangor dengan Petaling Jaya dan Klang menjadi lokasi popular.
Berdasarkan maklumat penangkapan LTTE oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diperoleh daripada arkib Utusan Online, turut pernah ditahan di negara ini adalah ketua kumpulan pemberontak itu, Selvarasa Pathmanathan pada 5 Ogos 2009 sebelum dihantar pulang ke negaranya oleh pihak berkuasa.
Penangkapan tersebut turut akui oleh kumpulan militan itu dalam kenyataan mereka yang menyatakan Pathmanathan ditahan di sebuah hotel dan kemudiannya disahkan oleh jurucakap tentera Sri Lanka, Brigedier Udaya Nanayakkara bahawa Pathmanathan dibawa ke Sri Lanka dan sedang disoal siasat.
Pathmanathan yang mengambil alih jawatan ketua LTTE selepas kekalahan kumpulan pemberontak tersebut pada Mei 2009 dan kematian ketuanya, Vellupillai Prabhakaran, dikehendaki Interpol kerana menyeludup senjata untuk militan terbabit.
Bagaimanapun menurut laporan portal BBC, kerajaan Sri Lanka mengumumkan Pathmanathan ‘bebas’ dan tiada tuduhan dibuat ke atasnya pada 2013. Namun, dia masih lagi berada dalam senarai dikehendaki Interpol.
Sementara itu, Utusan Online turut melaporkan yang polis menahan lima lelaki berkaitan kumpulan pengganas terbabit pada 5 September 2016 rentetan daripada serangan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari sebelumnya.
Kesemua suspek berusia 27 tahun sehingga 56 tahun itu ditahan di Dengkil, Selangor; Ipoh, Perak dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Malaysia juga dipercayai digunakan sebagai tempat untuk kumpulan yang diharamkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu untuk mengumpul dana berikutan penangkapan seorang anggota kanannya pada 2015.
Lelaki yang ditahan pada 7 Ogos 2009 itu dipercayai cuba mengumpul dana di negara ini untuk menghidupkan semula perjuangan kumpulan pengganas itu dengan memeras ugut warga Sri Lanka yang berada di negara ini.










