SHAH ALAM – Seramai 1,200 anggota dan pegawai polis negeri Selangor akan ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bermula Sabtu ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kesiapsiagaan polis sentiasa berada di tahap tinggi untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan keamanan dan kelancaran PRK itu.
Katanya, ini termasuklah dalam memastikan perjalanan trafik lancar sepanjang proses penamaan calon pada Sabtu ini dan pembuangan undi, 4 Ogos depan.
“Kita tidak melihat sebarang perkara boleh menjejaskan ketenteraman awam dan berharap PRK Dun Sungai Kandis berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan larangan penggunaan dron oleh mana-mana individu atau pihak kerana mengambil kira faktor keselamatan.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma. – K! ONLINE










