KUALA LUMPUR 2 Julai – Keputusan pemilihan UMNO bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi penggal 2018-2021 memperlihatkan hampir separuh daripadanya dianggotai muka baharu.
Seramai 12 muka baharu dipilih perwakilan untuk tempoh tiga tahun itu terdiri daripada gandingan pemimpin berpengalaman, berpengaruh dan juga dalam kalangan orang muda.
Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjadi muka baharu paling menonjol apabila menerima jumlah undian kedua tertinggi di belakang pemimpin berpengaruh, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Selain Zambry, pemimpin berpengalaman seperti Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Datuk Md. Alwi Che Ahmad turut dipilih untuk menganggotai Majlis Tertinggi parti.
Suara golongan wanita juga semakin bertambah apabila empat pemimpin wanita dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi.
Selain Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin yang berjaya mempertahankan jawatan itu, dua muka baharu ialah Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira dan Datuk Suraya Yaacob.
Dua wakil sayap pemuda parti turut dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi iaitu bekas ahli Exco Pemuda, Datuk Dr. Fathulbari Mat Jahya dan Datuk Lokman Noor Adam.
Selain Mustapa, Azalina serta Rosnah, muka lama yang berjaya mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi antaranya ialah Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Razali Ibrahim, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Tan Sri Noh Omar.
Tiga nama besar dalam UMNO yang gagal mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi pula ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Secara keseluruhannya, keputusan perwakilan ‘menukar’ hampir separuh Ahli Majlis Tertinggi itu merupakan manifestasi jelas kehendak mereka yang mahukan perubahan dalam perjuangan UMNO selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sehingga hilang kuasa mentadbir negara.











