KOTA BHARU 28 julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan sebanyak 10,000 kes perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan beragama Islam berlaku di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu juga merangkumi bilangan perkahwinan adat di Sarawak yang melibatkan kes sangat tinggi.
Beliau berkata, statistik itu adalah berdasarkan dapatan terkini oleh pihak kementerian dari tahun 2007 hingga 2017 yang juga melibatkan pasangan bukan Islam sebanyak 4,999 kes.
“Jadi, pihak kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama semua Exco Wanita dari seluruh negeri berhubung penetapan had kahwin bawah umur serta isu penyelarasan bantuan kebajikan yang dibincangkan bersama. Ini kerana isu itu bukan masalah yang berlaku di Kelantan sahaja malah melibatkan perkahwinan adat di Sarawak.
“Berkaitan kes perkahwinan bawah umur yang berlaku di negeri ini baru-baru ini, perkara itu masih dalam siasatan dan keputusannya diumumkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sidang Parlimen (sesi penggulungan) minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival dan Pelancaran Logo Baharu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Yang turut hadir, pengasas Yokuk, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim dan pengerusinya, Datin Suliana Shamsuddin Alias.
Dalam pada itu, Hannah berkata, isu kebajikan wanita dan kanak-kanak tidak boleh dipolitikkan dan perlu ditangani bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Untuk menaikkan had umur kahwin minimum (18 tahun) itu mesti dilakukan kerana merupakan sebahagian daripada janji kerajaan Pakatan Harapan. Namun, bagi melaksanakan perkara tersebut kita perlu faham kenapa ada jumlah kes sangat tinggi.
“Mengapa ada ibu bapa membenarkan anak jagaan mereka berkahwin pada bawah usia sedangkan itu merupakan tanggungjawab mereka?
“Setiap negeri berdepan dengan masalah berbeza dan lawatan saya hari ini ke Yokuk adalah untuk berdialog dengan pegawai JKM negeri ini di Rumah Kenangan bagi memahami cabaran yang dihadapi mereka,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, jumlah orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan JKM di negeri ini adalah seramai 34,205 orang sekali gus menduduki carta keempat tertinggi di negara ini.











