1,000 tetamu hadir jamuan teh sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis - Utusan Malaysia

1,000 tetamu hadir jamuan teh sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 20 Julai – Lebih 1,000 orang tetamu menghadiri majlis jamuan teh ‘Kasih Rakyat Menjunjung Daulat’ yang diadakan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-75 tahun di Dewan 2020, di sini hari ini.

Kesemua tetamu terdiri daripada kalangan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, pemimpin masyarakat, ahli-ahli Kelab Peminat P. Ramlee dan Saloma.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat mencemar duli menghadiri majlis yang disekalikan dengan ‘Persembahan Kesenian Sarawak’ dari Kuching.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda-baginda disambut oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas dan Timbalannya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Majlis itu dianjurkan oleh kerajaan negeri ini dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak.

Dalam pada itu, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kesenian Sarawak serta nyanyian koleksi lagu-lagu oleh seniman agung P. Ramlee.

Di akhir majlis, Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 26 orang asnaf terpilih. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN