100 pelancong nikmati keindahan panorama hutan paya bakau Kuala Perlis - Utusan Malaysia

100 pelancong nikmati keindahan panorama hutan paya bakau Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 18 Julai – Lebih 100 pelancong termasuk 30 daripada negara barat melalui pengalaman berharga apabila berpeluang menikmati keindahan panorama hutan paya bakau dengan menyelusuri Sungai Perlis menggunakan sebanyak 20 buah bot sejauh kira-kira enam kilometer di Kuala Perlis, di sini semalam.

Lebih meriah, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat sama mencemar duli menyertai program tersebut.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Katreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Program itu diadakan bersempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-75, semalam.

Kesemua pelancong termasuk daripada Switzerland dan Republik Czech itu menaiki bot-bot berkenaan bermula dari Jeti Tok Kuning sehinggalah ke muara Jeti Kuala Perlis yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Kumpulan itu merasai pengalaman sebenar hutan hujan tropika apabila hujan renyai-renyai di sepanjang laluan.

Setibanya di muara berkenaan, bot-bot itu berkumpul di tengah laut untuk bergambar kenangan dengan berlatarbelakangkan Masjid Al Hussain atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis selama kira-kira 30 minit.

Mereka turut dipersembahkan dengan gimik operasi menyelamat mangsa yang terjatuh ke dalam laut oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Dalam perjalanan pulang, kesemua mereka singgah sebentar di Jeti Kampung Bahagia sebelum dijamu dengan air nira kelapa.

Menurut Pengerusi Kelab Memancing dan Rekreasi Negeri Perlis, Zulkefli Amin Mat Jusoh, Sungai Perlis yang kaya dengan nilai sejarah mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri ini sekiranya dibangunkan dengan baik.

“Suatu ketika dahulu, Sungai Perlis bukan sahaja menjadi pengangkutan utama penduduk tetapi juga sebagai benteng pertahanan rakyat tempatan daripada musuh, kerana sungai itu menjadi laluan masuk utama ke negeri ini.

“Ia juga menjadi sumber ekonomi penduduk sehingga kini yang bekerja sebagai nelayan selain ahli-ahli keluarga mereka menambah pendapatan dengan mencari siput dan kerang-kerangan apabila air sungai surut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sepetang Bersama Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis di Jeti Tok Kuning.

Tambah Zulkefli Amin, pihaknya merasa bertuah kerana Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen berkenan berangkat menyertai program yang diatur oleh Kelab Memancing dan Rekreasi negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan negeri itu.

“Kita (kelab) merancang untuk mengadakan aktiviti pelancongan lain seperti pasar terapung menjual hasil-hasil laut, melihat kelip-kelip, memancing, mencandat sotong dan perahu berhias,” katanya yang mempunyai 100 ahli kelab setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN