PULAU PINANG 25 Julai – Lebih 10 pengusaha dusun durian di negeri ini telah berdaftar dengan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri untuk mempromosikan durian masing-masing.
Pengarahnya, Jonathan Freddy Bagang berkata, program berkenaan telah dilaksanakan tahun lepas, namun mempunyai kekangan kerana kekurangan bekalan ketika itu.
Bagaimanapun, ujar beliau, pada tahun ini situasi berubah apabila berlaku lambakan durian yang bermula pada bulan lepas.
“Oleh itu, kita yakin jumlah pelancongan yang berkunjung ke negeri ini untuk menikmati durian akan meningkat malah ketika ini harganya juga tidak terlalu mahal kerana bekalan yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program makan durian anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembara Malaysia (MATTA) negeri di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bahagian Perdagangan Antarabangsa MATTA negeri, Yam Chew Lam.
Mengulas lanjut, Jonathan berkata, pihaknya percaya promosi yang dilakukan oleh kumpulan pelancong yang pernah menikmati durian di negeri ini akan membantu merancakkan lagi industri berkenaan.
“Sejak sekian lama, negeri ini terkenal kerana beberapa jenuis durian di Balik Pulau seperti Udang Merah yang diakui antara durian yang paling enak,” katanya.
Berhubung jalinan kerjasama pelancongan, Jonathan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan MATTA untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Katanya, beliau difahamkan ketika ini MATTA sedang bekerjasama dengan pemain industri pelancongan di Indonesia untuk membawa masuk lebih ramai pelancong dari negara berkenaan ke negeri ini.
“Selain itu, saya difahamkan mereka turut menjalin kerjasama dengan pengusaha agensi pelancongan di Iran yang berminat untuk meneroka keunikan pelancongan di sini,” katanya.










