Zulfiqar menang gangsa di Gifu - Utusan Malaysia

Zulfiqar menang gangsa di Gifu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA terlepas peluang mempertahankan gelaran raja pecut remaja Asia yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan dua tahun lalu apabila kini menjadi milik musuh tradisi dalam dunia olahraga, Indonesia.

Atlet pecut remaja negara, Mohammad Zulfiqar Ismail terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan masa 10.46 saat (s) pada aksi final 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2018 di Gifu, Jepun semalam.

Zulfiqar, 19, menerima hakikat tewas kepada bintang baharu Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang menjuarai final 100m dengan catatan masa 10.27s diikuti pemenang tempat kedua dari Jepun, Daisuke Miyamoto selepas mencatatkan 10.35s.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia tetap dianggap satu pencapaian memberangsangkan meskipun gagal mempertahankan gelaran raja pecut milik Khairul yang dimenangi pemegang rekod 100m Malaysia itu pada edisi dua tahun lalu di Ho Chi Minh, Vietnam.

Jurulatih peribadi Zulfiqar, Mohd. Poad Kassim tetap berbangga de­ngan kejayaan itu meskipun gagal mengulangi pencapaian bersejarah dilakukan Khairul yang juga anak didiknya dan teman sepelatih pelari dari Terengganu tersebut.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana tahap saingan di rantau Asia bukan mudah dan selalunya memang sukar.

“Saingan cukup sengit kerana Zulfiqar sudah berjaya mendahului sehingga 50m terakhir sebelum pelari Indonesia (Zohri) memotong. Pelari itu memang laju kerana pernah mencatatkan 10.25s pada Pra Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Februari lalu.

“Pelari Jepun yang mendapat tempat kedua itu juga tidak kurang hebatnya kerana rekod peribadi terbaik dia ialah 10.23s. Jadi, saya menganggap pingat gangsa ini tetap satu pencapaian membanggakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kejayaan itu dilihat satu petanda positif buat kuartet 4x100m negara memandangkan nama Zulfiqar yang meraih tempat keempat 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018, tersenarai ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini