KUALA LUMPUR 28 Jun – Diikat tangan dan kaki sambil ditekap seterika wap oleh rakan-rakan secara bergilir-gilir di seluruh badan kira-kira dua jam.
Akibat daripada tekapan objek panas itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, menggelupur, meronta-ronta serta menjerit ‘tolong…panas’ dengan kuat.
Itu penderitaan yang dialami Zulfarhan Osman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang maut dipercayai dibuli ekoran enggan mengaku mencuri komputer riba seperti mana dalam keterangan seorang saksi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ahmad Senabil Mohamad, 22, yang merupakan penuntut tahun tiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia UPNM itu turut melakonkan semula jeritan Zulfarhan Osman ketika kejadian ditekap rakan-rakan seuniversitinya sehingga mengundang pelbagai reaksi di galeri awam.
Beliau berkata, kejadian tersebut berlaku di bilik 4-10, Asrama Jebat pada 22 Mei 2017 antara pukul 4 pagi hingga pukul 6 pagi dengan sebelum kejadian Abdoul Hakeem Mohd. Ali (tertuduh keenam) menyoal Zulfarhan Osman berhubung kehilangan komputer riba milik tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.
“Abdoul Hakeem mula bertanyakan beberapa soalan dan Zulfarhan Osman menjawab soalan itu seakan putar belit mengakibatkan Abdoul Hakeem menumbuknya dua kali sehingga dia berundur ke belakang diikuti Danial Firdaus (tertuduh dalam kes mencederakan Zulfarhan Osman). Tak lama kemudian ramai-ramai masuk bilik itu,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan hari ke-12 berhubung kematian mangsa.
Dalam kes tersebut enam penuntut iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata, Zulfarhan Osman dipukul beramai-ramai menggunakan tangan, kaki, penyangkut baju, kasut getah serta batang penyodok sampah dan dalam tempoh itu mangsa hanya mengelak namun tidak melawan balik.
Ujar Ahmad Senabil, kira-kira pukul 3.30 pagi, rakan-rakan yang sebelum ini datang memukul Zulfarhan Osman pulang dan hanya dia bersama Mohd. Syafiq, Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem dalam bilik tersebut.
Ketika itu, menurut saksi, Akmal Zuhairi yang sedang memegang seterika wap telah menekap kaki dan tangan Zulfarhan Osman sambil Abdoul Hakeem yang duduk di atas kerusi bertanyakan soalan kepada Zulfarhan Osman.
“Selain Akmal Zuhairi, Azamuddin, Najib, Afif Najmudin dan Shobirin turut menekap seterika wap di badan dan kaki Zulfarhan Osman yang ketika itu meniarap dengan tangan dan kaki diikat,” katanya.











