GAZA CITY 3 Jun – Jet pejuang tentera Israel membedil sekurang-kurangnya 15 kubu kumpulan pejuang Islam di Gaza semalam selepas mendakwa Palestin melancarkan serangan roket ke arah wilayah Israel sejak beberapa hari lalu.
Serangan itu dilakukan beberapa jam selepas ribuan penduduk Palestin menghadiri upacara pengkebumian sukarelawan perubatan wanita, Razan Najjar yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika cuba memberi bantuan kepada penunjuk perasaan di kawasan sempadan Gaza-Israel semalam.
Israel menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa tenteranya melancarkan serangan ke atas 10 kawasan pejuang Islam di tiga bangunan ketenteraan yang dipercayai milik pergerakan Hamas di Genting Gaza.
“Antara sasaran serangan termasuk dua pusat penghasilan senjata, tapak penyimpanan dan bangunan ketenteraan.
“Serangan itu juga merupakan tindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas terhadap wilayah Israel.
Beberapa jam selepas itu, jet pejuang tentera Israel menyerang lima lagi kawasan tumpuan Hamas di utara Gaza,” jelas kenyataan tersebut.
Sehingga kini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan di Gaza.
Petang semalam, anggota Hamas didakwa melancarkan dua serangan roket terhadap wilayah selatan Israel sehingga menyebabkan siren amaran dibunyikan dan penduduk dipindahkan ke tempat perlindungan.
Sistem pertahanan Israel, Iron Dome memintas satu daripada serangan roket tersebut manakala roket kedua dipercayai tidak sempat sampai ke sasaran.
Pada awal pagi ini, empat lagi roket dilancarkan ke arah Israel dalam beberapa serangan berasingan, menyaksikan tiga dipintas dan satu lagi jatuh di sebuah kawasan padang terbuka.
Selain itu, tiada mana-mana pergerakan di Gaza mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket tersebut
Dalam perkembangan lain, Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Asia Barat, Nickolay Mladenov menerusi Twitternya menulis ‘Petugas perubatan #BukanSasaran’, selain menggesa Israel meneliti semula fungsi tenteranya, termasuk Hamas perlu mengelak sebarang pertempuran di kawasan sempadan. – AFP










