MADRID 1 Jun – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengejutkan ramai pihak, apabila dia mengambil keputusan meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu hanya beberapa hari selepas skuad bimbingannya menjulang gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.
Bekas pemain antarabangsa Perancis berusia 45 tahun itu berkata, sudah tiba masanya dia melakukan perubahan untuk dirinya sendiri dan juga kelab serta mengakui, dia meragui kemampuannya bagi mengekalkan rekod kemenangan di Real.
Bagaimanapun, katanya, tidak ada mana-mana kelab yang mempengaruhi keputusannya meninggalkan Real dan walaupun pemerhati sukan bola sepak mengaitkan Zidane dengan tugas sebagai pengendali skuad kebangsaan Perancis.
Zidane menegaskan, dia tidak mengintai sebarang prospek kerjaya pada ketika ini.
“Saya telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tugas sebagai jurulatih Real Madrid pada tahun depan. Kelab ini berhak untuk meneruskan rentak kemenangan dan memerlukan perubahan.
“Selepas tiga tahun Real perlu melakukan sesuatu dan kaedah bekerja yang berbeza,” kata warga Perancis itu dalam sidang akhbar tergempar.
Zidane berkata, dia tidak pasti tentang keupayaan dirinya memberikan inspirasi kepada pasukan untuk terus mencipta kemenangan.
“Saya tidak dapat melihat diri saya meneruskan rentak kemenangan pada tahun ini dan saya seorang juara, saya tidak suka kepada kekalahan. Saya telah berfikir semasak-masaknya tentang keputusan ini dan saya tidak boleh berundur,” tambah Zidane, yang masih memiliki kontrak bersama Real sehingga 2020. – AFP










