Zee lebih suka low profile - Utusan Malaysia

Zee lebih suka low profile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Zee Khan Hussein mungkin tidak begitu dikenali dalam arena hiburan. Namun wanita yang sudah hampir enam tahun bergelar pelakon ini telahpun membintangi pelbagai drama, iklan dan telemovie.

Walaupun bersikap ‘low profile’, kehadiran Zee dalam industri mula dirasai apabila dia diberi kepercayaan memegang watak sebagai Siti dalam telemovie Pokya Cong Codei yang ditayangkan di saluran Astro.

Tidak menyangka telemovie itu mencetuskan satu fenomena dalam industri drama tempatan, Zee menganggap watak isteri kepada Pokya itu sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebaik mungkin.

“Sebenarnya, sudah lama Zee mengimpikan untuk bekerja di bawah arahan Sabri Yunus. Ini kerana saya suka jalan cerita bercorak kemasyarakatan.

“Zee minat cerita-cerita yang menonjolkan realiti kehidupan masyarakat kita. Jadi, apabila mendapat tawaran daripada abang Sabri, Zee tidak teragak-agak menerimanya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Kata Zee, bekerja di bawah Sabri berbeza dengan pengarah lain memandangkan dia langsung tidak diberikan skrip untuk dialog.

“Dialog pelakon kesemuanya secara spontan tanpa mengikut skrip. Kami hanya diberikan arahan apa yang perlu dilakukan dan apa yang akan berlaku dalam setiap babak berkaitan,” katanya.

Walaupun Zee merupakan seorang gadis urban yang dibesarkan di kota raya, namun dia tidak kekok mengekspresikan watak Siti yang ‘kekampungan’, selain bercakap dalam loghat Kelantan dalam telemovie itu.

“Bapa Zee berasal dari Kelantan, manakala ibu pula Melayu Thai. Jadi, tidak ada masalah untuk Zee bercakap loghat Kelantan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran Pokya Cong Codei 2 yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bercerita mengenai pengalaman dalam bidang lakonan, Zee berkata, dia bermula sebagai pelakon yang memegang watak sampingan di dalam iklan dan kemudian merangkak sedikit demi sedikit untuk naik ke tahap sekarang.

Katanya, dia pernah menjadi pelakon tambahan dengan bayaran RM50 sehari dan berulang-alik dari Damansara ke Sungai Buloh untuk melakukan penggambaran kerana terlalu minat dengan bidang itu.

“Selama setahun, saya hanya memegang watak tambahan sehinggalah diberi kepercayaan memegang watak berdialog.

“Sehingga kini, saya diberikan watak mencabar dalam beberapa drama terutama selepas berlakon dalam drama arahan Sheila Rusly,” katanya.

Ditanya mengenai impian, Zee berkata, setiap pelakon pasti mengimpikan watak paling mencabar yang mampu mengangkat bakat mereka ke tahap yang lebih baik.

Katanya, dia mengimpikan untuk membawa watak seorang pelacur yang digambarkan melalui suatu sisi lain, selain kehidupan di lorong-lorong gelap pada waktu malam semata-mata.

“Saya mahu watak itu memperlihatkan dari suatu sudut mengapa wanita itu terpaksa menjalani kehidupan sebegitu. Ini kerana tidak ramai yang mahu mengambil tahu tentang aspek itu, melainkan kehidupan yang sedang dilaluinya di lorong-lorong gelap,” katanya.

Tambah Zee, dia juga meminati dunia teater dan kini sedang giat menjalani latihan pementasan untuk teater Mahsuri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN