Hampir enam tahun ditubuhkan, persatuan kebajikan artis, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) akhirnya menukar nama menjadi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) sebagai menghormati permintaan kerajaan baharu yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu.
Pengerusinya, Datuk Irwan Shah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave memberitahu, memandangkan logo 1Malaysia juga sudah tidak lagi relevan seiring dengan kehendak parti pemerintah baharu, pihaknya tiada masalah untuk memberi kerjasama.
Tambahnya lagi, nama baharu YKAT juga dilihat lebih tepat dan bersesuaian dengan misi serta visi utama persatuan yang sememangnya memberi tumpuan penuh kepada kebajikan selebriti tempatan memerlukan.
“Pihak saya ada menerima beberapa panggilan daripada pihak kerajaan berhubung nama yayasan dan kami sedia menurut peraturan yang telah ditetapkan, maka terhasillah nama YKAT ini berkuat kuasa bermula 5 Jun lalu.
“Saya dan lapan lagi artis selaku pemegang amanah YKAT juga sama. Mereka ialah Datuk M. Nasir, Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Yusof Haslam, Datuk Khairuddin Abu Bakar, Datuk Jamaludin Elias atau Nash Lefthanded, Datuk Nancie Foo, Colin Lionel Edmonds dan S. Kanagarajan,” katanya dalam sebuah sidang media di Temana Brassie, Menara Berkembar Petronas baru-baru ini.
Bantuan
Dalam pada itu, DJ Dave turut memaklumkan bahawa walaupun tampuk pemerintahan negara sudah berubah, namun ia tidak menjejaskan segala aktiviti yayasan, malah pihaknya mahu menjalin hubungan baik dengan barisan kepimpinan kerajaan baharu.
Menyifatkan YKAT sebagai pertubuhan kebajikan tanpa mempunyai kepentingan lain, beliau masih mengharapkan bantuan daripada kerajaan dari segi dana atau sumber yang boleh disalurkan bagi menolong meringankan beban anak-anak seni.
Tambahnya, yayasan itu akan terus membela nasib artis yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik dan pelakon tanpa mengira bangsa dan agama terutama artis veteran.
“Kami mengharapkan sokongan padu daripada kerajaan baharu agar segala usaha memastikan anak seni tidak terbiar dan menanggung beban hidup sendirian akan terus dijalankan.
“Namun, kami juga tidak akan berhenti mengumpul dana sendiri dengan menganjurkan pelbagai majlis kutipan derma yang terdiri daripada konsert, pertandingan badminton atau majlis makan malam yang sudah pun dalam perancangan,”jelasnya lagi.
Aktiviti terdekat YKAT adalah kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat menerusi penganjuran kejohanan badminton dan malam gala pada 14 dan 15 Julai nanti dengan semua sumbangan akan disalurkan terhadap Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.











