KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan diminta untuk mewujudkan sebuah agensi atau jabatan khusus yang dapat berperanan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) sebelum ini dalam membantu membangunkan usahawan dan peruncit tempatan khususnya bumiputera.
Naib Presiden, Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini tiada agensi pusat yang benar-benar berperanan dalam membantu usahawan kecil bumiputera dalam membangunkan perniagaan masing-masing.
“Ada di antara mereka sebelum ini yang pergi ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mendapatkan bantuan dan sebagainya.
“Sekiranya tidak seperti sebuah kementerian pun, wajar untuk ditubuhkan sebuah jabatan besar yang dapat dijadikan rujukan kerana ada isu-isu kecil berkaitan usahawan kecil dan sederhana bumiputera yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan, di Menara Ilham di sini hari ini.
Jelas Ameer Ali lagi, menerusi jabatan atau agensi khas tersebut, kerajaan sudah tentu dapat memperuntukan bantuan termasuk khidmat nasihat kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana tempatan ini bagi mengembang dan memajukan perniagaan. – UTUSAN ONLINE











