SERANGAN penyakit terutamanya kanser amat menakutkan dan sukar dihalang. Malah, merawat penyakit ini juga tidak semudah penyakit lain.
Hakikatnya, kanser sering dikaitkan dengan kematian kerana ramai mangsa ‘tewas’ hanya beberapa bulan selepas sel kanser dikesan.
Bagi pesakit kanser kanak-kanak, ibu bapa adalah individu yang paling terkesan apabila melihat penderitaan yang dilalui anak mereka.
Malah, ada antara mereka sanggup mengambil tempat si anak supaya insan kecil itu terlepas daripada kesakitan.
Dunia mereka seolah-olah tidak lagi bermakna, bahkan perayaan juga tidak disambut meriah seperti insan lain.
Bagi Radi Saharuddin, 44, penderitaan anak bongsunya yang disahkan menghidap kanser otak tahap tiga sedikit sebanyak menyebabkan sambutan Aidilfitri dirai dengan penuh sederhana.
Siti Nur Marissa Amani, 9, yang mesra dipanggil Marissa mengalami cacat penglihatan akibat serangan kanser otak sejak umurnya lima tahun dan kini sedang menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, keluarganya merancang untuk tidak menyambut Aidilfitri secara meriah bagi menumpukan perhatian terhadap rawatan anaknya.
“Tahun ini kami sekeluarga sepakat untuk menyambutnya secara sederhana kerana Marissa masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.
“Memang kami merancang untuk tidak beraya, cuma pulang ke kampung halaman di Pahang dan Selangor bagi menziarahi saudara-mara,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Radi yang berasal dari Pahang dan menetap di Melaka bercerita, kesedihan yang ditanggung bersama isterinya itu tidak sesekali memadamkan warna kegembiraan untuk anak mereka.
Justeru, dia masih memberi peluang kepada Marissa untuk melakukan perkara yang disukainya setiap kali Aidilfitri menjelma.
Radi memberitahu, seperti kanak-kanak normal yang lain, Marissa akan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kaum keluarga di masjid.
Setelah itu, Marissa akan membantu ibunya membuat persiapan termasuk mengisi kuih raya ke dalam balang berwarna-warni.
“Marissa paling suka mengisi kuih raya dalam balang yang disediakan. Itu aktiviti yang dilakukannya apabila pulang beraya di kampung halaman.
“Walaupun matanya tidak dapat melihat, dia menggunakan deria sentuhan untuk melakukannya dengan baik,” tambah Radi.
Dalam pada itu, Radi memberitahu, anaknya itu akan mengikut sepupu-sepupunya berkunjung ke rumah jiran tetangga untuk beraya.
Berceloteh
Paling menggembirakan Radi ialah apabila anaknya itu tersenyum bahagia dan berceloteh mengenai pengalaman beraya setelah pulang ke rumah.
Jauh di sudut hatinya, Radi berharap Marissa akan kembali sembuh seperti sediakala dan menjalani kehidupan macam insan normal yang lain.
Ibu kepada salah seorang pesakit lain, Aini Suhana Ali, 35, memberitahu, dia mahu anaknya, Muhamad Aiqal Safwan, 4, meraikan lebaran dengan penuh bermakna bersama kaum keluarga di kampung halaman.
“Tiada ibu yang tidak sedih melihat anak kecilnya terpaksa menanggung penderitaan tetapi saya reda dan akan berusaha untuk mendapatkan rawatan untuknya.
“Saya akan kotakan hajatnya untuk meraikan Aidilfitri bersama sepupu-sepupunya di Terengganu. Biar lebaran tahun ini memberi makna dalam hidupnya,” katanya.
Muhamad Aiqal baru sahaja disahkan menghidap kanser otak tahap empat dan sedang menjalani rawatan secara intensif di HKL.
Aini Suhana memberitahu, anaknya itu masih aktif bermain seperti kanak-kanak yang lain walaupun sedang bergelut dengan penderitaan.
Cerita Aini Suhana, anak bongsunya itu teruja apabila pulang ke kampung kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan bersama saudara-mara.
“Dia akan mengikut sepupu-sepupunya untuk bermain bunga api, mengumpul duit raya dan menikmati kuih-muih.
“Saya akan sentiasa memantau pergerakannya kerana bimbang dia terlalu aktif sehingga boleh menyebabkan kecederaan,” tambahnya.
Aini Suhana berkata, anaknya amat menggemari kuih semperit dan dia akan memastikan ia antara kuih wajib dibeli pada Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Aini Suhana memberitahu, tidak ada yang lebih bermakna dalam hidupnya melainkan dapat melihat anaknya gembira seperti orang lain.
“Momen yang paling indah apabila saya melihat dia ketawa gembira seolah-olah tidak menanggung penderitaan langsung,” katanya.










