KUALA LUMPUR 21 Jun – Semua warga media diminta bersabar sekiranya sukar mendapatkan akses dan jawapan daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan, sebarang jawapan balas terhadap soalan melalui aplikasi Whatsapp peribadi perlulah diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang reaksi.
“Pihak media dinasihatkan untuk memaklumkan lebih awal dan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menemu bual Menteri Pertahanan.
Pihak kementerian sentiasa bersedia dan terbuka untuk membantu pihak media bagi memastikan setiap agensi media dapat memberikan laporan yang terbaik,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak Mohamad Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan yang baharu, pihak kementerian menerima banyak permohonan dari pihak media untuk mengadakan wawancara khas bersama beliau.
Memandangkan jadual Menteri Pertahanan yang agak padat, bagi mempercepatkan proses, pihak Kementerian Pertahanan melalui Unit Komunikasi Strategik terpaksa mengatur sesi wawancara dengan pihak media secara berkumpulan.
“Sejak 28 Mei 2018 sehingga 12 Jun 2018, sebanyak lima siri wawancara telah diadakan yang melibatkan 18 agensi media termasuk media cetak, elektronik dan media atas talian dan beberapa siri wawancara bersama agensi media yang masih berbaki akan menyusul, namun tertakluk kepada jadual Menteri Pertahanan,” katanya.
Berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat terhadap Menteri Pertahanan, pihak kementerian telah memaklumkan kepada pengiring rapat untuk membenarkan rakyat bergambar dengan beliau namun masih menitikberatkan faktor keselamatan.
Pada masa yang sama, pihak Kementerian Pertahanan juga akan menganjurkan Majlis Hari Raya Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat dan semua media dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut. – UTUSAN ONLINE









