SABAK BERNAM 25 Jun – Seorang lelaki warga emas rentung, manakala isteri dan anak perempuannya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU) terselamat dalam kebakaran rumah di Jalan Haji Ehsan, Kampung Sungai Tengar dekat Sungai Air Tawar, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa, Ahmad Arshad, 76, rentung selepas terperangkap tetapi isterinya, Tuminah Kadis, 78 bersama anak perempuan OKU, Nurul Huda Ahmad, 31, berjaya menyelamatkan diri.
Jiran mangsa, Mohamad Nazari Abd. Rashid, 43, berkata, dia menyedari kebakaran berlaku selepas mendapat panggilan telefon daripada isterinya memberitahu ternampak asap hitam dari arah rumah mangsa sewaktu keluar menghantar anak ke sekolah.
“Saya terus bergegas ke rumah mangsa yang juga makcik saya kira-kira 500 meter di belakang rumah saya. Sebaik sampai, saya terkejut melihat api telah menjilat keseluruhan rumah kayu berkenaan.
“Syukur makcik dan anaknya terselamat, bagaimanapun suami makcik meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Pegawai Bomba Kanan l Sabri Dahali berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.14 pagi.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selain enam anggota bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar turut membantu.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api sebelum kebakaran berjaya di padamkan sepenuhnya.
“Pada pukul 7.35 pagi, mayat lelaki tersebut ditemui rentung di bahagian ruang tamu dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










