KUANTAN 23 Jun – Seorang warga emas bersama cucu terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 233.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam itu, kedua-dua mangsa yang duduk di kerusi belakang, Hamzah Hitam, 77, dan cucunya Muhammad Hairi Kosni, 18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Pemandu MPV itu yang juga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Kosni Kamit, 54, bersama isterinya, Nor Haliza Hamzah, 50, luka di kepala.
Kakak ipar Kosni, Nor Haslina, 52, cedera ringan dan seorang lagi anaknya, Muhammad Haziq, 24, patah paha kanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, pemandu Toyota Hilux, Wazir Baharudin, 46, dan rakanya, Muhammad Ishak Ismail, 54, hanya cedera ringan.
Menurutnya, pemandu sebuah lagi Perodua Alza, Faiq Ibrahim, 28, isteri, Norhidayah Boriak, 25, anak mereka, Muhammad Firash Nawfal, enam bulan dan adik Faiq, Mohd. Firdaus, 28, yang turut terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV dinaiki lima sekeluarga termasuk mangsa yang maut dari Rengit, Johor itu dalam perjalanan menghala ke Kelantan.
“Sampai di tempat kejadian, pemandu Perodua Alza itu memperlahankan kenderaan sebelum dirempuh Toyota Hilux dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, akibat rempuhan kuat itu MPV dipandu Kosni menggelongsor lalu melanggar sebuah lagi MPV dipandu Faiq yang berada di hadapan di lorong kiri jalan.
“Dua mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.










